KURIKULUM
baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih
sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.
Kurikulum
tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut
akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan
dan patriotik.
KSSR
akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana
kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau
peringkat awal pendidikan mereka.
Penerapan
dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta
pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun
seterusnya sejajar dengan perubahan umur.
Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR
tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR).
Melalui
KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang
akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan
dilatih untuk KSSR.
Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pendekatan
teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik
dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut
serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam
subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.
Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009.
Sebanyak
50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala
sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran
terpilih.
KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.
Tahap
satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan
4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi,
kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Sementara
tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada
pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi,
kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.
Selain
itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam
tahun seluruh negara.
Pada
peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan
sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke
sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M.
KSPK
akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan
mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan
menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak
prasekolah.
*Telah
pun melihat sukatan pelajaran KSSR (Bahasa Melayu Tahun 1). Menarik
kerana tidak ada huraian sukatan pelajaran yang mengarut seperti sebelum
ini. Aspek seni bahasa juga diperkenalkan selain pengekalan kemahiran
bahasa yang utama. Apa yang pasti, pembaharuan dokumen sukatan pelajaran
juga turut menerapkan aspek sains dan teknologi dalam P & P.
0 comments:
Post a Comment